Tuesday, 2 August 2011

Jalan dah dirintis

Assalamu'alaikum & salam sejahtera buat guru-guru & rakan-rakan sekalian.. Alhamdulillah segala pujian bagi Allah s.w.t, julung-julung kalinya, rakan-rakan bekas pelajar dengan kerjasama pihak pentadbiran sekolah telah berjaya mengadakan program yang menghimpunkan bekas-bekas pelajar SMK Tobiar dari tahun 2000-2010. Program yang telah dilaksanakan pada bulan Julai yang lepas telah dihadiri oleh 35 orang bekas pelajar hampir mewakili setiap batch dan 9 orang guru. Ucapan tahniah & terima kasih kepada rakan-rakan bekas pelajar yang sentiasa memberi kerjasama dalam menjayakan program tersebut.


Program yang bertemakan "sirih pulang ke gagang" ini bertujuan mengumpulkan semua bekas pelajar serta menghubungkan kembali ikatan silaturrahim. Selain itu program ini juga telah mencapai kata sepakat  untuk mewujudkan organisasi rasmi persatuan Alumni SMK Tobiar. Mesyuarat ringkas yang dijalankan telah memberi kesedaran sedikit sebanyak keperluan memberi komitmen kepada persatuan. Banyak pandangan & cadangan telah diutarakan untuk sama-sama membantu menjayakan matlamat penubuhan persatuan. Program berakhir dengan cabutan bertuah dan sesi fotografi.


"Jalan dah dirintis", itulah ungkapan yang dinukilkan dalam group page facebook BEKAS PELAJAR oleh cikgu Hamzah yang juga merupakan guru penasihat program yang lepas merangkap penasihat persatuan alumni yang baru ditubuhkan. Kini ruang untuk semua bekas pelajar memberi penghargaan & membalas jasa pihak sekolah telah dibuka dengan cara memberi komitmen kepada program-program yang telah dirancang oleh persatuan alumni. Perancangan demi perancangan sedang dilakukan demi membantu pihak sekolah dalam merealisasikan visi & misinya.

Sesebuah pertubuhan bekas pelajar mampu menjadi satu unit sokongan yang sangat kuat kepada pihak sekolah jika mendapat kerjasama yang baik dari semua pihak. Mari kita lihat bagaimana alumni sekolah-sekolah lain sangat membantu pihak sekolah dalam usaha meningkatkan pembangunan modal Insan. Usaha yang turut dibantu oleh PIBG serta Badan Alumni memberi seribu satu method atau cara mencapai sesuatu target. Kerjasama yang dimaksudkan ini juga pernah dilafazkan oleh Menteri Pelajaran Malaysia dalam sebuah ucapannya yang menunjukkan antara titik tolak kejayaan sesebuah sekolah adalah terletak bagaimana kerjasama tiga hala (pihak sekolah, PIBG & Alumni) dibentuk.

Oleh itu, diharapkan penubuhan persatuan Alumni SMK Tobiar ini dapat dimanfaatkan bersama untuk kesejahteraan bersama. Sekian..

No comments:

Post a Comment