Wednesday 8 February 2012

Alumni : Nilai dan Peranannya di sisi warga pendidik & masyarakat.

Alumni atau mereka yang telah graduasi dari mana-mana institusi pengajian, merupakan golongan yang menimba ilmu & pengalaman  melalui proses pendidikan bersistem. Proses demi proses, peringkat demi peringkat telah dilalui,semestinya teori keilmuwan & pengalaman di sekolah mahupun kolej atau universiti pasti membantu dalam meneruskan kehidupan. 


Mungkin juga boleh diklasifikasikan sebagai golongan yang menilai sesuatu berdasarkan pengalaman dan kesedaran. Contohnya, pasti ketika di zaman persekolahan kita tidak terlepas daripada tindakan disiplin selepas melakukan kesalahan atau denda jika tak dapat siapkan kerja sekolah. Bagi yang sedang melaluinya,pasti menganggap itu satu bebanan yang akan menimbul rasa tidak puas hati tetapi sebenarnya itu merupakan lumrah kehidupan semasa persekolah yang kita tidak dapat lari darinya. 

Tindakan disiplin dan denda mungkin secara zahirnya,ia merupakan satu cara untuk membalas sesuatu kesalahan,namun dari sudut yang lain,ia merupakan cara yang terbaik untuk menjadikan diri sebagai seorang yang sentiasa beradab dan berakhlak. Perkara yang telah disebut tadi,hanya golongan yang telah melalui proses tersebut sahaja sedar akan segala yang telah dilalui berbanding golongan yang sedang melalui.

Persoalannya,berapa ramai golongan yang sudah melalui proses didikan ini, membantu menyedarkan golongan yang sedang melalui proses tersebut? Di manakah praktiknya teori keilmuwan dan pengalaman yang diperoleh? Adakah semua itu membantu golongan yang lebih muda? Apakah usaha yang telah dilakukan untuk membantu institusi pendidikan dalam melahirkan anak bangsa yang berkualiti? Atau tidak perlu mempersoalkan semua itu kerana itu semua tugas pendidik?


Bekas penuntut ilmu yang terbaik dan berkualiti, akan dinilai berdasarkan keperibadiaan yang terhasil, keperibadiaan yang baik pasti memberi kesan yang baik kepada orang yang berada disekelilingnya. Itulah yang pastinya semua pendidik idamkan iaitu nilai keilmuwan yang dipraktikan dan diterjemahkan kepada kehidupan masyarakat. Berdasarkan nilai keilmuwan dan pengalaman ini,pasti ianya membuahkan idea, tentang apa PERANAN kita sebagai ALUMNI?