Adik-adikku di SMK Tobiar khususnya..
Guru adalah insan yang sangat besar jasanya kepada kita semua. Sebut  sahaja perkataan guru, cikgu, mursyid dan apa jua yang sama dengannya,  pasti akan terbayang difikiran seseorang yang mengajar ilmu, menunjukkan  kesalahan, memberi nasihat, latihan dan panduan.
Pendek kata mereka adalah insan yang menunjukkan kita sesuatu ilmu  yang membuatkan kita yang asalnya tidak tahu, menjadi tahu.  Tanpa guru  siapalah kita pada hari ini. Jika kita bergelar doktor, peguam, jurutera  dan saintis, itu semua adalah hasil daripada didikan guru-guru kita  sejak kita tadika, sekolah dan universiti. Merekalah yang membentuk kita  menjadi seperti sekarang.
Islam amat menitikberatkan adab seorang murid terhadap gurunya.  Adalah menjadi suatu kewajiban bagi kita untuk hormat kepada guru  meskipun mereka tidak lagi mengajar kita. Seorang guru sudah pasti  mempunyai pengetahuan yang tinggi tentang sesuatu bidang sehingga mampu  mengajar orang lain. Oleh sebab itulah menghormati mereka adalah  dituntut oleh syarak sebagaimana firman Allah S.W.T :
"Wahai orang-orang yang  beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah  dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu." (An-Nisa' :59)
Pernah diceritakan tentang Imam Syafie menghormati gurunya. Pada  suatu hari, sedang beliau memberi kuliah kepada ribuan  pelajar-pelajarnya, masuklah seorang badwi yang amat comot serta amat  busuk sekali.
Melihat sahaja badwi itu masuk, Imam Syafie lantas berhenti daripada  memberi kuliah dan mendekati badwi itu serta memeluknya dengan erat.  Tergamam anak muridnya melihat perlakuan Imam Syafie itu. Selesai sahaja  memberi kuliah, maka bertanyalah anak muridnya kepada Imam Syafie  mengapa beliau memeluk badwi tersebut.
Imam Syafie berkata bahawa walaupun badwi itu busuk dan comot, tetapi badwi itu ialah gurunya. Sebab itu dia memeluk badwi tersebut sebagai cara menghormati guru. Makin terpegun pelajar-pelajarnya apabila diberitahu tentang badwi yang jahil itu menjadi guru Imam Syafie.
Jawab Imam Shafie " Pada suatu hari, sedang aku menulis kitab  fekah , aku mempunyai satu masalah iaitu bagaimanakan nak mengenali dan  membezakan di antara anjing yang cukup umur dengan anjing yang belum  cukup umur. Lalu aku fikir tentu badwi tau kerana badwi banyak  memelihara anjing untuk mengawal kambing-kambing mereka.
Aku pun bertanya hal tersebut kepada badwi yang ku peluk tadi.  Badwi itu menerangkan bahawa anjing yang cukup umur mengangkat sebelah  kaki belakang apabila kencing, manakala anjing yang tidak cukup umur  tidak mengangkat kakinya bila kencing. Dengan panduan badwi itulah, maka  aku dapat menyiapkan kitabku itu" Begitulah ceritanya. Walaupun  terlalu sedikit jasa badwi itu kepadanya, Imam Shafie amat menghargainya  dan menghormati sehingga menggelarnya guru.
Rasulullah s.a.w bersabda:
"  Tidak termasuk umatku, orang yg tidak hormat orang tua, tidak mengasihi  orang muda dan tidak mengiktiraf orang alim di antara kami." (Riwayat Ahmad)
Kebelakangan ini, pelajar kurang mengambil berat soal  hormat-menghormati dengan guru. Sudah menjadi sesuatu yang biasa bagi  pelajar yang melawan guru malah ada yang berani mencederakan guru yang  mengajarnya ilmu. Hal ini amat bercanggah dengan adab pelajar dalam  Islam. Saidina Ali juga pernah berkata, "Barang siapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan kepada ku." Tuan yang dimaksudkan oleh Saidina Ali adalah gurunya.
Terdapat banyak cara menghormati guru kita. Jika ilmuan terdahulu  yang terkenal dengan ketokohan ilmunya menghormati guru mereka, maka  mengapa kita yang tidak menjadi tokoh dan ilmuan berani melanggar adab  berguru.
Adab ulama salaf dan ilmuan terdahulu dengan guru mereka ialah Mereka merendah diri  terhadap ilmu dan guru dan sentiasa menurut perintah serta nasihat guru  dan sentiasa meminta pendapat serta pandangan  guru dalam setiap urusan  mereka.
Mereka mentaati setiap arahan serta bimbingan guru umpama seorang  pesakit yang tidak tahu apa-apa yang hanya mengikut arahan seorang  doktor pakar yang mahir. Mereka juga sentiasa berkhidmat untuk guru-guru  mereka dengan mengharapkan keredhaan dan balasan pahala serta kemuliaan  di sisi Allah s.w.t.
Ulama terdahulu tidak pernah sama sekali menggelar guru mereka dengan nama yang buruk. Bahkan mereka juga tidak pernah memanggil guru dengan panggilan "engkau" dan "awak".  Al-Khatib berkata: Hendaklah dia berkata "Wahai guru, apakah pendapat kamu mengenai hal ini?" dan  kata-kata seumpamanya. Dan tidak menggelarkannya dengan namanya kecuali  disertakan dengan gelaran-gelaran yang menunjukkan penghormatan serta  takzim kepadanya. Misalnya syeikh ataupun ustaz atau syeikh kami.
Mereka tidak sekali-kali berbantah-bantah ataupun berlawan cakap dengan guru.  Sesungguhnya berbantah-bantah itu secara umumnya sudah merupakan suatu  perbuatan yang keji dan terlarang, apatah lagi untuk berbantah-bantah  dengan guru yang merupakan pembimbing serta qudwah. Perbuatan ini akan  menjauhkan mereka sebagai pelajar daripada kebaikan dan merupakan  penjerumus kepada kejahatan dan ianya adalah penyebab diharamkan ke atas  mereka bermacam-macam bentuk kebaikan.
Jika mereka berhajat kepada guru mereka di luar waktu mengajar  sedangkan guru tersebut sedang berehat ataupun tidur, maka guru itu tidak akan diganggu. Mereka akan menunggu sehingga guru tersebut terjaga dari tidur ataupun selesai dari berehat. Ibnu  'Abbas r.a pernah mendatangi salah seorang daripada sahabat Rasulullah  s.a.w untuk bertanya kepadanya mengenai suatu hadith. Lalu dikatakan  kepadanya: Dia sedang tidur. Maka duduklah Ibnu 'Abbas di muka pintu.  Lalu dikatakan kepadanya: Tidak perlukah kita mengejutkannya? Ibnu  'Abbas pun menjawab: Jangan.
Begitulah hormatnya ulama' dan ilmuan Islam terdahulu. Disebabkan  itulah mereka menjadi tokoh besar dan dihormati pula sehingga kini  kerana mereka begitu menjaga adab dengan guru masing-masing. Semoga kita semua termasuk dalam kalangan mereka yang menghormati guru. insyaAllah.