Tuesday, 31 January 2012

PENGETUA : Merekalah Perintis & Peneraju Kegemilangan SMK Tobiar

   
Tuan Haji Ghazali Bin Saad 
( Januari 2001- November 2001)



    Puan Hajjah Sopiah Binti Ramli 
( Disember 2001-November 2002)



    Puan Hajjah Azizah Binti Nasan 
(November 2002- Mei 2007)



    Tuan Haji Mohd. Roslan @ Sobri bin Ismail 
( Jun 2007- Julai 2010)



    Puan Hajjah Maharom Binti Mat Saiyee 
(Julai 2010 hingga kini)

Wednesday, 25 January 2012

Hormatilah GURUmu

Adik-adikku di SMK Tobiar khususnya..

Guru adalah insan yang sangat besar jasanya kepada kita semua. Sebut sahaja perkataan guru, cikgu, mursyid dan apa jua yang sama dengannya, pasti akan terbayang difikiran seseorang yang mengajar ilmu, menunjukkan kesalahan, memberi nasihat, latihan dan panduan.

Pendek kata mereka adalah insan yang menunjukkan kita sesuatu ilmu yang membuatkan kita yang asalnya tidak tahu, menjadi tahu.  Tanpa guru siapalah kita pada hari ini. Jika kita bergelar doktor, peguam, jurutera dan saintis, itu semua adalah hasil daripada didikan guru-guru kita sejak kita tadika, sekolah dan universiti. Merekalah yang membentuk kita menjadi seperti sekarang.

Islam amat menitikberatkan adab seorang murid terhadap gurunya. Adalah menjadi suatu kewajiban bagi kita untuk hormat kepada guru meskipun mereka tidak lagi mengajar kita. Seorang guru sudah pasti mempunyai pengetahuan yang tinggi tentang sesuatu bidang sehingga mampu mengajar orang lain. Oleh sebab itulah menghormati mereka adalah dituntut oleh syarak sebagaimana firman Allah S.W.T :

"Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu." (An-Nisa' :59)

Pernah diceritakan tentang Imam Syafie menghormati gurunya. Pada suatu hari, sedang beliau memberi kuliah kepada ribuan pelajar-pelajarnya, masuklah seorang badwi yang amat comot serta amat busuk sekali.

Melihat sahaja badwi itu masuk, Imam Syafie lantas berhenti daripada memberi kuliah dan mendekati badwi itu serta memeluknya dengan erat. Tergamam anak muridnya melihat perlakuan Imam Syafie itu. Selesai sahaja memberi kuliah, maka bertanyalah anak muridnya kepada Imam Syafie mengapa beliau memeluk badwi tersebut.

Imam Syafie berkata bahawa walaupun badwi itu busuk dan comot, tetapi badwi itu ialah gurunya. Sebab itu dia memeluk badwi tersebut sebagai cara menghormati guru. Makin terpegun pelajar-pelajarnya apabila diberitahu tentang badwi yang jahil itu menjadi guru Imam Syafie.

Jawab Imam Shafie " Pada suatu hari, sedang aku menulis kitab fekah , aku mempunyai satu masalah iaitu bagaimanakan nak mengenali dan membezakan di antara anjing yang cukup umur dengan anjing yang belum cukup umur. Lalu aku fikir tentu badwi tau kerana badwi banyak memelihara anjing untuk mengawal kambing-kambing mereka.

Aku pun bertanya hal tersebut kepada badwi yang ku peluk tadi. Badwi itu menerangkan bahawa anjing yang cukup umur mengangkat sebelah kaki belakang apabila kencing, manakala anjing yang tidak cukup umur tidak mengangkat kakinya bila kencing. Dengan panduan badwi itulah, maka aku dapat menyiapkan kitabku itu" Begitulah ceritanya. Walaupun terlalu sedikit jasa badwi itu kepadanya, Imam Shafie amat menghargainya dan menghormati sehingga menggelarnya guru.

Rasulullah s.a.w bersabda:
" Tidak termasuk umatku, orang yg tidak hormat orang tua, tidak mengasihi orang muda dan tidak mengiktiraf orang alim di antara kami." (Riwayat Ahmad)

Kebelakangan ini, pelajar kurang mengambil berat soal hormat-menghormati dengan guru. Sudah menjadi sesuatu yang biasa bagi pelajar yang melawan guru malah ada yang berani mencederakan guru yang mengajarnya ilmu. Hal ini amat bercanggah dengan adab pelajar dalam Islam. Saidina Ali juga pernah berkata, "Barang siapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan kepada ku." Tuan yang dimaksudkan oleh Saidina Ali adalah gurunya.

Terdapat banyak cara menghormati guru kita. Jika ilmuan terdahulu yang terkenal dengan ketokohan ilmunya menghormati guru mereka, maka mengapa kita yang tidak menjadi tokoh dan ilmuan berani melanggar adab berguru.

Adab ulama salaf dan ilmuan terdahulu dengan guru mereka ialah Mereka merendah diri terhadap ilmu dan guru dan sentiasa menurut perintah serta nasihat guru dan sentiasa meminta pendapat serta pandangan  guru dalam setiap urusan mereka.

Mereka mentaati setiap arahan serta bimbingan guru umpama seorang pesakit yang tidak tahu apa-apa yang hanya mengikut arahan seorang doktor pakar yang mahir. Mereka juga sentiasa berkhidmat untuk guru-guru mereka dengan mengharapkan keredhaan dan balasan pahala serta kemuliaan di sisi Allah s.w.t.

Ulama terdahulu tidak pernah sama sekali menggelar guru mereka dengan nama yang buruk. Bahkan mereka juga tidak pernah memanggil guru dengan panggilan "engkau" dan "awak".  Al-Khatib berkata: Hendaklah dia berkata "Wahai guru, apakah pendapat kamu mengenai hal ini?" dan kata-kata seumpamanya. Dan tidak menggelarkannya dengan namanya kecuali disertakan dengan gelaran-gelaran yang menunjukkan penghormatan serta takzim kepadanya. Misalnya syeikh ataupun ustaz atau syeikh kami.

Mereka tidak sekali-kali berbantah-bantah ataupun berlawan cakap dengan guru. Sesungguhnya berbantah-bantah itu secara umumnya sudah merupakan suatu perbuatan yang keji dan terlarang, apatah lagi untuk berbantah-bantah dengan guru yang merupakan pembimbing serta qudwah. Perbuatan ini akan menjauhkan mereka sebagai pelajar daripada kebaikan dan merupakan penjerumus kepada kejahatan dan ianya adalah penyebab diharamkan ke atas mereka bermacam-macam bentuk kebaikan.

Jika mereka berhajat kepada guru mereka di luar waktu mengajar sedangkan guru tersebut sedang berehat ataupun tidur, maka guru itu tidak akan diganggu. Mereka akan menunggu sehingga guru tersebut terjaga dari tidur ataupun selesai dari berehat. Ibnu 'Abbas r.a pernah mendatangi salah seorang daripada sahabat Rasulullah s.a.w untuk bertanya kepadanya mengenai suatu hadith. Lalu dikatakan kepadanya: Dia sedang tidur. Maka duduklah Ibnu 'Abbas di muka pintu. Lalu dikatakan kepadanya: Tidak perlukah kita mengejutkannya? Ibnu 'Abbas pun menjawab: Jangan.

Begitulah hormatnya ulama' dan ilmuan Islam terdahulu. Disebabkan itulah mereka menjadi tokoh besar dan dihormati pula sehingga kini kerana mereka begitu menjaga adab dengan guru masing-masing. Semoga kita semua termasuk dalam kalangan mereka yang menghormati guru. insyaAllah.

Saturday, 10 September 2011

Tahniah dan Selamat Berbakti


Assalamualaikum..

Kesinambungan daripada program Himpunan Bekas Pelajar yang lepas yang antaranya bertujuan menubuhkan sebuah organisasi rasmi untuk Alumni SMK Tobiar, akhirnya lengkap apabila Majlis Tertinggi Alumni yang telah dilantik sebelum ini telah mengumumkan barisan Kepimpinan Alumni SMK Tobiar secara rasmi. Barisan exco yang terdiri daripada 15 orang itu diketuai oleh saudara Izzat Afif Bin Abdullah.

Antara biro yang telah ditubuhkan adalah:
1. Biro Kepimpinan, Kerohanian dan Pembangunan Insan.
2. Biro Akademik, Penerangan dan Informasi
3. Biro Kebajikan dan Perhubungan Awam
4. Biro Ekonomi dan Keusahawanan
5. Biro Sukan, Kesenian dan Kebudayaan.

Diharapkan penubuhan organisasi ini dapat mencorakkan lagi wajah bekas-bekas pelajar yang telah dididik dan dibentuk di SMK Tobiar dengan lebih baik. Marilah sama-sama kita membantu menjayakan matlamat penubuhan Alumni SMK Tobiar.

Kepada seluruh kepimpinan Alumni SMK Tobiar, semoga sentiasa dipermudahkan segala urusan dan dimurahkan rezeki oleh Allah S.W.T. Kepimpinan bukan suatu kemuliaan tetapi merupakan suatu tanggungjawab..;-)

Wednesday, 7 September 2011

Program Qiyamullail dan Tautan Kasih Siswa SMK Tobiar


Assalamu'alaikum salam sejahtera.. Alhamdulillah baru-baru ni dalam 10 Ramadhan terakhir, Alumni bersama pihak sekolah telah memilih dua hari untuk sama-sama menjayakan sebuah program berbentuk kerohanian dan motivasi. Program yang dianjurkan ini telah melibatkan hampir 200 orang pelajar SMK Tobiar dari semua tingkatan. Kerjasama daripada pihak sekolah dan fasilitator jemputan memudahkan perjalanan program.

Program ini secara khususnya memfokuskan tiga objektif utama iaitu mendekatkan pelajar dengan program kerohanian, motivasi & solusi masalah pelajar. Pendekatan yang berbentuk analisis sedikit sebanyak membantu barisan fasilitator memahami potensi diri yang terdapat dalam diri peserta. Barisan fasilitator telah berusaha semalaman untuk memahami diri setiap ahli dalam kumpulan.

Di dalam kehidupan seharian, pastinya kita mempunyai keinginan untuk melihat semua orang di sekeliling kita  baik disemua peringkat umur khususnya para remaja dan belia, menjadi tonggak utama dalam membina kehidupan dan persekitaran yang harmoni. Namun begitu keinginan kita tidak akan tercapai jika kita hanya melihat tanpa mahu berusaha untuk mencapainya. 

Allah s.w.t tidak akan mengubah sesuatu perkara selagi mana hambanya tidak berusaha untuk mengubahnya. Oleh itu, di antara method dan pelaksanaan yang efektif adalah penganjuran program atau aktiviti yang dapat membantu proses pembangunan seseorang individu. Penerapan nilai yang bersifat dalaman sangat membantu proses didikan terhadap seseorang. Walaupun program ini melibatkan banyak kos, tenaga dan masa, namun nilainya tidak akan sesekali sama dengan nilai pengorbanan dan nilai kualiti insan yang dilahirkan.

Akhir kata, tanggungjawab membina kehidupan yang baik merupakan Amanah yang perlu dipikul semua, golongan belia dan remaja perlu sentiasa dididik untuk menghayati dan menghargai nilai sesebuah kehidupan. Menghargai kehidupan merupakan persediaan kita menghadapi kematian..Sekian... 

Wednesday, 3 August 2011

Salam Ramadhan Kareem


Assalamu'alaikum wth.. Semoga semuanya berada dalam keadaan sihat di bulan Ramadhan yang mulia ini. Guru-guru & rakan-rakan sekalian, sedar mahupun tidak sedar, Ramadhan kali ni jatuh dalam bulan Ogos iaitu bulan kemerdekaan. Mesti ada sebabkan??.. Dah sinonim dengan kita yang bulan Ogos ini mengingatkan kita dengan bebasnya negara dari penjajahan. Sangat bererti nilai kemerdekaan untuk rakyat Malaysia. 

Namun begitu kita juga kena ingat, bulan Ramadhan juga membebaskan kita dari melakukan perkara keburukan sebab syaitan sudah dibelengu, yang tinggal sekarang adalah melawan nafsu. Alangkah indahnya jika Ramadhan kali ni kita sama-sama menghayati nilai kebebasan yang telah ditetapkan oleh Islam..Hmm, bagaimana??dengan cara...

1. Bebaskan diri kita dari mensyirikkan Allah s.w.t
2. Bebaskan diri kita dari ideologi/pemikiran yang menyesatkan
3. Bebaskan diri kita dari menjadi hamba kepada orang
4. Dan banyak lagi..

Inilah masanya untuk kita merasai nilai kebebasan tersebut & jangan kita sesekali silap memahami makna kebebasan, silap-silap, kebebasan yang kita nak,penjara pulak tempatnya..paham2 je la zaman sekarang ni..Sekian dulu, tapi sebelum terlupa, kepada semua guru,staff,pelajar dan ex-smk Tobiar, Alumni SMK Tobiar mengucapkan selamat berpusa dan beramal ibadah di bulan ramadhan ini..Semoga amalan kita semua diterima..wslm..

Tuesday, 2 August 2011

Jalan dah dirintis

Assalamu'alaikum & salam sejahtera buat guru-guru & rakan-rakan sekalian.. Alhamdulillah segala pujian bagi Allah s.w.t, julung-julung kalinya, rakan-rakan bekas pelajar dengan kerjasama pihak pentadbiran sekolah telah berjaya mengadakan program yang menghimpunkan bekas-bekas pelajar SMK Tobiar dari tahun 2000-2010. Program yang telah dilaksanakan pada bulan Julai yang lepas telah dihadiri oleh 35 orang bekas pelajar hampir mewakili setiap batch dan 9 orang guru. Ucapan tahniah & terima kasih kepada rakan-rakan bekas pelajar yang sentiasa memberi kerjasama dalam menjayakan program tersebut.


Program yang bertemakan "sirih pulang ke gagang" ini bertujuan mengumpulkan semua bekas pelajar serta menghubungkan kembali ikatan silaturrahim. Selain itu program ini juga telah mencapai kata sepakat  untuk mewujudkan organisasi rasmi persatuan Alumni SMK Tobiar. Mesyuarat ringkas yang dijalankan telah memberi kesedaran sedikit sebanyak keperluan memberi komitmen kepada persatuan. Banyak pandangan & cadangan telah diutarakan untuk sama-sama membantu menjayakan matlamat penubuhan persatuan. Program berakhir dengan cabutan bertuah dan sesi fotografi.


"Jalan dah dirintis", itulah ungkapan yang dinukilkan dalam group page facebook BEKAS PELAJAR oleh cikgu Hamzah yang juga merupakan guru penasihat program yang lepas merangkap penasihat persatuan alumni yang baru ditubuhkan. Kini ruang untuk semua bekas pelajar memberi penghargaan & membalas jasa pihak sekolah telah dibuka dengan cara memberi komitmen kepada program-program yang telah dirancang oleh persatuan alumni. Perancangan demi perancangan sedang dilakukan demi membantu pihak sekolah dalam merealisasikan visi & misinya.

Sesebuah pertubuhan bekas pelajar mampu menjadi satu unit sokongan yang sangat kuat kepada pihak sekolah jika mendapat kerjasama yang baik dari semua pihak. Mari kita lihat bagaimana alumni sekolah-sekolah lain sangat membantu pihak sekolah dalam usaha meningkatkan pembangunan modal Insan. Usaha yang turut dibantu oleh PIBG serta Badan Alumni memberi seribu satu method atau cara mencapai sesuatu target. Kerjasama yang dimaksudkan ini juga pernah dilafazkan oleh Menteri Pelajaran Malaysia dalam sebuah ucapannya yang menunjukkan antara titik tolak kejayaan sesebuah sekolah adalah terletak bagaimana kerjasama tiga hala (pihak sekolah, PIBG & Alumni) dibentuk.

Oleh itu, diharapkan penubuhan persatuan Alumni SMK Tobiar ini dapat dimanfaatkan bersama untuk kesejahteraan bersama. Sekian..